Sumber berita dari UTUSAN
KIEV, Ukraine 17 Julai - Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17
yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala
Lumpur terhempas, dipercayai ditembak pelancar peluru berpandu di pekan
Shakhtarsk di timur negara ini lewat petang ini.
Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashenko dalam
akaun Facebooknya berkata, pesawat MAS itu terbang pada ketinggian
10,000 meter dan dipercayai ditembak dengan peluru berpandu yang
dilancarkan daripada pelancar Buk.
Pelancar serupa pernah dilihat oleh wartawan Associated Press dekat bandar Snizhne di timur Ukraine awal hari ini.
Sementara itu, MAS dalam kenyataannya mengesahkan menerima makluman
daripada Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Ukraine yang ia terputus
hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 1415 (GMT) 30 kilometer dari
Tamak, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.
Menurut MAS, pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada
pukul 12.15 tengah hari waktu Amsterdam dan dijangka tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi esok waktu
Malaysia.
MAS dalam Twitternya berkata, syarikat penerbangan itu 'gagal
berhubung dengan pesawat MH17' ketika berada di ruang udara Ukraine.
Urutan masa nahas
17 Julai (Khamis)
* 12.15 Tengah Hari - (waktu tempatan Amsterdam) MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam.
*
10.15 MALAM - (waktu Malaysia) MAS mengesahkan ia telah menerima
pemberitahuan daripada ATC Ukraine bahawa ia telah terputus hubungan
dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT) di kedudukan 30km dari Tamak,
kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.
18 Julai (Jumaat)
* 12.00 TENGAH MALAM - Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak menulis tweet: “Saya terkejut dengan
laporan bahawa sebuah pesawat MH terhempas. Kami akan melakukan siasatan
serta merta."
- Perdana Menteri Ukraine Arseniy Yatsenyuk mengarahkan siasatan dilakukan terhadap nahas itu.
*
2.07 PAGI - Laporan Reuters memetik Menteri Kecemasan Rusia Vladimir
Puchkov sebagai berkata Rusia telah meminta kebenaran Kiev pada Khamis
untuk membantu kerja-kerja menyelamat di selatan Ukraine selepas sebuah
pesawat penumpang Malaysia terhempas di kawasan itu.
* 2.30
PAGI - Laporan Reuters memetik Presiden Amerika Syarikat Barack Obama
sebagai berkata di Wilmington, Delaware pada Khamis bahawa nahas pesawat
Malaysia di sempadan Ukraine adalah satu "tragedi dasyat" dan Amerika
Syarikat mahu menawarkan bantuan sewajarnya untuk membantu mengenal
pasti apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NahasMH17_Urutanmasanahas/Article
No comments:
Post a Comment